DIARI MISI LELAKI: Kisah 09
DIARI MISI LELAKI
Kisah 09: Temuduga
01: Menganggur
*Pertengahan Jun 2010
" Pihak kami janji lepas raya Aidilfitri nanti kami akan panggil pelajar-pelajar yang dah grad untuk bekerja dengan kami di Hospital UiTM " Bergegar gamat dewan bunyi tepukan tangan dengan sorakan seolah-olah kerusi Dun bertanding baru diumumkan pemenang sebentar tadi. Tambah beliau lagi, lebih empat puluh jawatan baru akan di sediakan dan para graduan segar-laku keras seperti kami ini di suruh hantar resume dengar kadar segera mungkin. Katanya anak-anak UiTM akan didahulukan. Pasti.
Disember 2010
Hampir enam bulan berlalu, bukan setakat Raya Aidilfitri je berlalu, hatta Raya Haji pun berlalu tanpa sedar tu pun masih belum ada khabar berita. Tiada sebarang jawapan atau panggilan nak temuduga kerja. Seorang pun tak dapat lagi.
Dalam masaa enam bulan itu juga, aku dan kawan-kwan menjadi penganggur. Daripada 20 orang lelaki dalam jurusan kami, tinggal lima orang lagi yang belum dapat kerja. Pasaran bekerja semakin terhad. Kuantiti melebihi keperluan. Aku dah jadi insan yang terdesak hingga seorang teman mencadangkan aku menghantar resume di sebuah hospital tempat di mana Zaki sedang berkerja. Sudah dua bulan Zaki bekerja di hospital tersebut. Istilah menganggur sudah semakin sebati dalam diri.
Aku pun mencuba nasib. Akhirnya aku menghantar resume dengan pertolongan Zaki. Cepat sikit saluran tu sampai. Menurut Zaki, sebaik habis kerja shif pagi, lepas solat Jumaat (anggaran mungkin pukul 3-4 petang), dia akan terus hantar ke bahagian sumber manusia. Nak di jadikan cerita, pada hari jumaat yang sama tu, aku mendapat satu panggilan luar yang amat asing nombornya. Selepas di jawab, aku di panggil untuk menghadiri sebuah temuduga pada hari Isnin minggu hadapan. Syukur.
02: Zaki
Pagi ahad aku datang ke KL dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu. Itu je yang termampu. Sampai pada petang tu, Zaki jugalah yang datang dan aku bermalam di rumah beliau. Keesokkannya, aku kena bangun seawal lima pagi untuk mengikut Zaki (juga) ke tempat kerja beliau yang mana mengambil masa selama 45 minit menaiki motosikal. Mujurlah aku bawak baju sejuk.
Sebelum Subuh, aku dah terpacak depan hospital dan ditinggalkan terkontang kanting seorang diri di lobi hospital. Sementara itu, Zaki dah masuk untuk shif pagi yang akan bermula pada pukul tujuh nanti.
Menurut Zaki lagi, pejabat atau orang mula masuk kerja pejabat hanya akan berlaku pada pukul 8.30 pagi dan balik pula pada pukul 5.30 petang. Lewat setengah jam dengan orang keje gomen. Dalam kepala aku dah mencongak-congak masa nak kena tunggu dekat dua jam lebih jugak ni. Tak senang duduk aku dibuatnya. Habis semua majalah yang ada situ aku belek. Baca pun tak masuk, apatah lagi semua topik mengenai perubatan.
Berkali-kali juga aku mengubah tempat duduk dah macam orang nak beli sofa baru gayanya. Sesekali aku melihat ke arah skrin TV yang asyik ulang video korparat yang sama mengalahkan Astro. Kawasan lobi tersebut sunyi sepi. Hanya gema suara seorang dua sahaja kedengaran. Mungkin mak cik tukang cleaner sedang mop lantai.
Bila jam menjengah ke angka tujuh pagi, dah ada manusia mula berpusu-pusu masuk ke dalam hospital sama ada staff di situ yang dapat di kenali dengan baju pekerja seperti baju scrub, baju uniform ataupun baju pejabat ataupun pesakit yang sudah mula datang seawal mungkin untuk memenuhi undangan temujanji yang di tetapkan bersama doktor ataupun menjalani terapi dan rawatan yang telah ditetapkan.
Ralit juga melihat gelagat masing-masing. Yang pasti ekor mata mereka mesti melihat aku yang sedang duduk sendirian di sofa berhadapan kaunter concierce. Entah apa la mamat ni buat dekat sini pagi-pagi buta. Beberapa orang lelaki yang memakai berbaju berwarna hijau sedang menghampiri kaunter dengan membawa edaran surat khabar yang akan di bawa nanti ke setiap wad dan klinik, dan setiap seorang dari mereka memiliki walkie-talkie sebagai alat penghubung. Tugas 'porter' umpama butler hotel yang menjadi antara tulang belakang hospital ini. Aku ingatkan dekat hotel je ada orang tolong parkirkan kereta, angkut barang-barang naik bilik dan jadi pemandu arah. Malah, tanpa mereka, pergerakkan pesakit dan staff ke suatu unit juga mungkin sukar dilakukan jika tiada khidmat mereka. 2) Mereka itulah yang akan menjadi rakan-rakan sekerja untuk beberapa tahun akan datang nanti.
Walaupun jam baru menunjukkan jam 8.15 pagi, aku sudah tidak boleh menunggu untuk ke minit-minit yang seterusnya. Dua jam yang tersangat lama. Dulu-dulu mana ada social media akaun. Kalau ada aku dah bergoyang Tik Tok di segenap ruang.
Aku sudah tahu ke mana arah yang ingin dituju. Zaki sudah berpesan yang Jabatan Sumber Manusia terletak di tingkat enam di bahagian selatan bangunan. Degup jantung kian berdebar, dengan langkah yang di atur menuju ke lif bangunan yang terpisah dari bangunan utama. Yang di tunggu-tunggu kian tiba. Aku tak boleh gagal. Aku kena lulus temuduga ni. Aky tak boleh balik dengan tangan kosong. Itulah kata-kata yang aku sematkan dalam diri. Ini satu-satunya peluang (dalam tempoh enam bulan ini) yang tak boleh aku sia-siakan.
Selepas aku dapat panggilan undangan temuduga jumaat lepas, aku menelefon Kak Wan aka kakak Senior masa belajar di UiTM dulu. Dia pernah ada pengalaman kerja di jabatan kecemasan
walaupun hanya buat separuh masa. Ada tempat aku buat rujukan dan terima pandangan nasihat. Aku memberitahu beliau mengenai tawaran tersebut (padahal baru dapat temuduga kerja je pun) dan Kak Wan mengatakan yang aku pergi dahulu mencuba nasib dan jika dapat jangan persiakan peluang tersebut. Aku menyematkan beberapa kata-kata nasihat lain yang diberikan sebagai pembakar semangat (Beberapa lama selepas itu, nama Kak Wan semakin terpinggir dari ingatan ini, sibuk di dalam dunia tipu-tipu ni kut. Arakian, sehinggalah diari ini di tulis, nama beliau pun kembali menjelma semula sehingga aku terpaksa menggunakan Facebook sebagai medium menjejak kasih. Rasa dah 12 tahun terputus hubungan).
03: HR
Bila lif di garisan tingkat enam, aku keluar dan menuju ke kaunter Jabatan Sumber Manusia. Sambil berjalan melihat sekeliling, sempat jugak aku membetulkan tali leher. Kasut kulit hitam pun aku bawak sekali dari kampung. Demi sebuah temuduga.
Jam dinding menunjukkan pukul 8.30 pagi, bermakna aku dah boleh membuat urusan yang hajatkan. Aku lihat sudah ada beberapa orang sedang duduk dan menunggu, mungkin juga punyai urusan penting seperti aku. Tak seorang pun aku bertegur sapa. Semua perempuan. Aku hanya memberitahu seseorang yang berada di kaunter dan belum sempat aku berpusing untuk duduk, tiba-tiba datang seorang wanita menyapa
"Hah!!! ... dah datang pun Amir! " Gulp. Aku terus terpinga-pinga. Siapa pulak yang panggil nama aku ni. Rasanya hanya Zaki seorang je yang aku kenal di hospital. Aku berpaling dan melihat seorang wanita bertudung yang sangat moden dan bergaya pemakaiannnya datang ke arah aku. Beliau menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku bertambah terkedu dan sesaat kemudian yang aku tahu tangan aku sudah pun terlerai membalas salaman tersebut. Mungkin senyum manis yang dihadiahkan menjadi rasa gugup ini berkurang dan seolah-seolah seperti sudah kenal lama. Cuma aku rasa kurang rasa selesa apabila individu yang berada di situ melihat 'kemesraan' kami berdua. Mungkin ada yang fikir aku ni sejenis yang 'pakai kabel la tu'. Wanita itu memperkenalkan dirinya.
" Panggil akak Nurul je. Amir duduk dulu..." Beliau mengambil beberapa helai kertas dan memberi sekeping kertas A4 putih kepadaku sambil berkata,
"...Amir amik kertas ni. Jawab soalan-soalan dalam ni. Dah habis jawab nanti bagi kat je kaunter,". Kak Nurul meminta izin untuk pergi masuk ke pejabatnya semula.
04: OSCE
Aku memerhatikan soalan-soalan matematik di atas kertas tersebut. Soalan-soalan yang menjadi igauan ngeri buat semua bakal jururawat. Mana taknya, soalan inilah yang membuatkan hampir semua teman-teman sekuliah gagal menjawabnya semasa ujian partikal OSCE ujian ni paling stress kerana pelajar akan di letakkan dalam bilik kebal sehari suntuk, telefon atau alat komunikasi akan diambil dan hanya dipulang selepas ujian tamat, kemudian akam panggil masuk dalam makmal yang mengandungi 5 stesen untuk dilakukan prosedur tertentu mengikut kehendak soalan. Setiap stesen mengandungi soalan amali yang perlu dilakukan dalam masa lima minit sahaja. Tiada rehat dan setiap kali loceng berbunyi anda kena bersedia untuk ke stesen seterusnya. Semasa ujian OSCE di semester terakhir aku bulan enam hari tu, bila tiba di stesen terakhir, kami tak menjangkakan yang stesen tersebut mengandungi soalan mengenai kiraan dos ubat. Bayangkan 10 soalan nak di jawab dalam masa 5 minit. Dah tu, kalau soalan pertama kalau tak dapat di jawab, mesti soalan kedua dan yang seterusnya tak boleh dijawab sebab semua soalan berkait antara satu sama lain. Rasa belajar untuk tiga tahun jadi sia-sia bila kena hadap benda ni).
Tapi kali ni aku yakin dapat jawab semua. 20 soalan, petik jari je ni. Lepas habis jawab untuk pusingan pertama, aku buat pusingan kedua tapi buat lebih cepat, versi kompress tapi santai; periksa jawapan dan jalan kira je. Bila dah selesai, aku pun bangun dengan rasa penuh yakin dari kerusi nak hantar kertas jawapan. Bila dah hantar, aku lihat orang lain masih tertunduk-tunduk mengira di tempat masing-masing. Bangga pulak bila jadi orang pertama siap. Betul semua tu belum tentu lagi. Harap-harap tak ada yang angkat tangan mintak kertas tambahan.
05: Sister Tan
Tak sampai beberapa minit kemudian, nama aku di panggil oleh seorang wanita yang sedikit berisi masuk ke dalam bilik di hadapan kaunter tersebut. Inilah saat paling mendebarkan.
Stesen seterusnya adalah sesi "One to one" atau "face to face" interview' ataupun temuduga secara bersemuka. Ketaq baq hang.
Aku memasuki bilik tersebut dan duduk menghadap wanita yang berbaju ungu lembut sambil mengucapkan selamat pagi dan beliau terus memperkenal dirinya sebagai Sister Tan (bukan nama sebenar). Tanpa melengahkan masa, beliau pun memulakan proses menemuduga dengan soalan-soalan mudah seperti
"Tell me a little bit about your background ". Sudah. Dalam kepala aku dah siap-siaga dah yang aku kena 'speaking' omputeh berabuk giler kali ni.. Kenapa? Sebab aku nak bagi "good impression" ataupun tanggapan mulia selepas digoogle pada orang yang temuduga aku. Baru rasa kayangan. Walhal, nak membaca pun merangkak-rangkak. Inikan pula nak bercakap omputeh. Tengok TV pun wajib nak kena ada sarikata. Cuba je lah sebaik mungkin. Tempat macam ni orang bukan akan gelak kat kita pun kalau salah tatabahasa. Langsung tiada.
Soalan seterusnya Sister Tan tanya aku minat nak ditugaskan di jabatan mana. Aku kata kalau ikut minat aku suka kerja di ICU (Intensive Care Unit). Tapi ramai orang lelaki tak dapat masuk kerja di ICU. Kemudian aku pilih nak masuk OT (Dewan Bedah) walaupun aku tak suka duduk kawasan dingin beku. Disebabkan aku tak suka kerja dekat tempat kalut-sibuk-'bosan' di Unit Kecemasan (ER atau ED), aku cakap kat Sister Tan aku kalau boleh tak nak ditempatkan di ED. Tambah Sister Tan lagi, dekat sini ada jer staff lelaki keje dekat ICU tapi mengiyakan apa yang aku kata; tak ramai.
".. but why not kan. " kata Sister Tan. Soalan seterusnya. Inilah soalan paling aku ingat sampailah sekarang ni. Soalan yang betul-betul nak uji pengetahuan aku.
"Ok this is the last one... What is the most common complication occurs after Gastrectomy operation?". Macam senang je; bagi aku la. Gastrect tu sebut banyak kali dah bunyi dekat dekat macam Gastrik. Gastrik tu perutlah kan. Tomy-tomy tu pulak dalam bahasa medikal ni macam 'remove' atau buang . Jadi cantum-cantum dapatlah - pembedahan membuang perut. Gitulah konsep dia kalau nak faham. Cepat-cepat otak aku mencongak sifir tersebut.
"Infections?.." aku pulang bagi jawapan secara bertanya pula. Dia geleng kepala
" Nope.. next?" Lembut.
"Bleeding?.."
"No... still very rare but yes did occured a lot too". Haih. 2, 3 jawapan seterusnya aku bagi lagi. Aku pulak yang bagi dia pilihan, semua salah jugak.
Aku hanya ada satu jawapan yang aku sangat-sangat yakin kalau kalian mendengari mesti rasa takjub sekali iaitu - Dumping Syndrome. Mesti tak pernah dengar kan. Aku pun melantunkan jawapan tersebut penuh yakin sekali.
06: Dumping Syndrome
" Dumping Syndrome !!". Aku nampak raut muka macam dia lain sedikit. Betullah tu kut. Mesti dia pun takjub dengan jawapan daripada mulut graduan segar macam aku ni.
" Dumping Syndrome..are you sure?... what is Dumping Syndrome" Dia pulak sibuk tanya apa maksud natang tu. Bukan nak bagi tahu jawapan tu betul ke tidak. Aku pun lupa dah macam mana mekanisme benda alah tu terjadi. Yang aku tahu tulah jawapan yang aku duk pegang selama ni belajar. Ok, aku nak mula mengoreng dah. Konfiden level mesti kena tinggi ni . Aku pun jawablah ikut kefahaman aku sendiri yang mana Dumping syndrome tu terjadi apabila makanan yang dimakan oleh pesakit selepas pembedahan tak dapat dicerna kerana perut terlalu lama kosong atau tak berfungsi seperti normal. Lebih kurang masa anda puasa tapi berbuka sikit. Tapi semacam mustahil je terjadi.
Ternyata jawapan aku salah. Hatta, aku pun rasa salah. Tapi jawapan Dumping Syndrome tu pun aku yakin sangat dah betul. Sister Tan cakap huraian aku pada Dumping syndrome tu tak tepat, bukan salah ok. Tapi beliau masih tak mengiyakan jawapan aku tu betul ke salah.
Habis je aku jawab, beliau pun cakap masa untuk sesi temuduga aku dah habis dan dia pulak suruh aku balik baca semula pasal Dumping syndrome tu. Tiba-tiba aku rasa macam temuduga ni tak berjaya sebab salah jawab benda 'penting' tu. Punyalah aku 'speaking' baik punya. Bukan senang orang Teganu nak speaking omputeh tak ada dengung 'G' kat belakang ni.
Sebelum aku keluar dari bilik tu, sempat aku membuat ayat penutup menyelamatkan diri.
" Sister.. I promise if I get this job I will get back to you to give the right asnwer.. bla bla bla". Kalau dah nak sangat. Janji semua ditabur. Sister Tan tak menjanjikan apa-apa dan hanya cakap tunggu keputusan nanti dan selamat berjaya.. Tak bagi harapan langsung.
Bila dah habis temudaga bersemuka ni, tak tahu nak rasa kecewa ke tak. Lega pun tak boleh lagi sebab ada satu stesen yang tak kurang pentingnya.
07: Stesen Ketiga
Seminggu sebelum aku datang hari ni, Shah, kawan satu jurusan dah datang temuduga cakap akan ada tiga stesen semuanya. Alhamdulillah, beliau dah dapat pun tawaran kerja di situ, cuma tak tahu bahagian mana akan ditempatkan. Stesen pertama kena jawab kiraan ubat -tadi aku dah lepas. Stesen kedua pula yang tadi tu. Dah lepas jugak. Tak tahu jadi apa. Untuk stesen yang ketiga ni aku hanya keluar menunggu di depan kaunter Jabatan Sumber Manusia. Orang yang ramai-ramai tadi dah tak ada di situ
"Dah siap dah Amir? " Kak Nurul muncul tiba-tiba entah dari arah mana. Aku yakin mesti ada pintu tak kelihatan disitu.
" Amir dah boleh balik dah " Aik.
" Bukan ada OSCE ke?" Aku betul-betul mengharap perjuangan aku di teruskan. Tiadak berakhir di sini.
"Tak. Hari ni tak ada OSCE". Alamak. Tak ada stesen ke tiga pulak. Kami berborak sambil kaki aku mengikut sahaja Kak Nurul yang membawa aku keperkarangan koridor menuju ke lif. Terbayang dalam kepala kata-kata juri 'your journey is ending here. This is your last goodbye'. Apa semua ni.
"..... kita memang nak ambik Amir pun" Aik. Aik. Aik. Tak tahu nak senyum ke nak gelak sebab macam tak percaya dengar apa yang Kak Nurul beritahu Aku tak mampu berkata apa-apa.
Kata Kak Shima lagi, " Nanti ada orang akan kol bagitahu dekat department mana kena posting nanti". Aku bersyukur sangat. Berbaloi datang awal-awal pagi untuk temuduga-naik motor- naik bas jauh-jauh dari kampung, lepas tu terus dapat kerja pulak. Bukan senang orang nak ambik graduan segar-bugar macam aku ni.
" Kita memang nak ambik sorang je" Itu kata Kak Nurul.
" Yang ramai-ramai datang tadi tu?" Aku rasa ingin tahu pulak nasib mereka. Rasa kesian pulak.
" Yang tu cukup syarat je". Lagilah kesian aku dengar. Aku hanya senyum sumbing je lah. Nampaknya rezeki aku hari ni tak salah alamat. Terngial-ngial janji aku pada Sister Tan tadi. Menyesal pulak. Ternyata manusia memang bermulut manis. Siapa suruh tanam tebu dipinggir bibir.
Pukul sepuluh lebih sesi temuduga aku habis. Hasilnya sudah membuatkan aku tersenyum lebar. Tak sangka ada orang nak ambik aku kerja jugak akhirnya. Aku jumpa Zaki untuk kali terakhir pada tahun tersebut dan mengucapkan selamat jalan serta terima kasih atas bantuan. Seterusnya aku nak terus ke stesen KTM- KL Sentral-Stesen Bas Putra untuk menaiki bas pulang ke Kuala Terengganu pada petang itu juga. Semasa aku berada di KL Sentral menunggu keretapi, aku mendapat panggilan yang memberitahu aku mendapat tawaran kerja tersebut secara rasminya walaupun sudah tahu lebih awal tadi. Yang lebih mengembirakan lagi aku diberitahu yang aku akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), bersama-sama dengan Shah dan melapor diri pada tarikh yang sama.
Tamat
P/S: Jawapan untuk Dumping syndrome
aku masih tak beri jawapan kat Sister Tan sehingga kini sebab beliau dah berhenti keje tak lama kemudian. Sister Tan tu ada kembar, kerja disitu juga; pun dah berhenti.

Comments
Post a Comment