DIARI MISI LELAKI: Kisah 08

 DIARI MISI LELAKI


KISAH 08: DISLEKSIA: KELEBIHAN ATAU KEKURANGAN




       Aku adalah seorang manusia yang normal dan waras tetapi aku mempunyai penyakit Dislexia. Bila aku cakap benda ni di zaman sekarang atau tanya pada warganet serba cepat mahir bersosial, aku yakin di tahun 2020 ni mungkin lebih separuh rakyat Malaysia tak pernah dengar walaupun ramai lebih mengharapkan idea kereta terbang dapat di realisasikan. Tak tahu yang mana lagi nak di kecewakan dulu. Sebagai seorang ibu bapa yang ada anak ke sekolah dan bawa balik keputusan peperiksaan yang mengundang pemikiran seperti "tak cukup ke beras aku tanak selama ni" atau "salah makan apa anak aku ni" jangan terlalu cepat melatah. Mungkin mereka adalah salah seorang penghidap Disleksia.

        Apa itu Dislexia; "Dyslexia is a learning disorder that involves difficulty reading due to problems identifying speech sounds and learning how they relate to letters and words (decoding). Also called reading disability, dyslexia affects areas of the brain that process language". Nah, hafalkan.

        Dislexia takkan hilang selamanya. Dislexia juga bukan penyakit, jadi tak payah nak bawa jumpa doktor, tabib atau dukun nak berubat. Jumpa doktor pun, doktor akan cakap "anak puan ada Disleksia" dan hanya akan beri nasihat dan rujukan tertentu, tiada pil-pil perancang tambahan atau tonik-tonik khas untuk merawatnya. Ibu bapa kena mainkan peranan penting.

Bagaimana aku boleh tahu?

          Mungkin kebetulan atau perancangan Tuhan. Bermula umur 13 tahun atau semasa di tingkatan satu. Lepas balik sekolah menengah, aku akan lepak di sebuah perpustakaan dari pukul dua sampai pukul lima petang setiap hari (bersekolah) sama ada buat kerja sekolah atau membaca. Aku akan mula membaca daripada surat khabar (Utusan Malaysia & Berita Harian), Majalah seperti Mastika & Bacaria, hinggalah novel (dulu aku gilakan Ahadiat Akashah), buku-buku cerpen termasuk cerita kanak-kanak, cerita rakyat yang masih aku ingat sampai sekarang (366 Cerita Rakyat oleh Othman Puteh) dan sastera berat termasuk sajak, puisi dan pantun.

       Satu artikel mengenai Dyslexia aku baca ni ada dalam Mastika. Aku suka majalah Mastika yang dulu-dulu ni sebab ada kolum kecil yang letak mengenai fakta-fakta ala-ala Ripley's Believe It Or Not. Bila baca, ada beberapa ciri-ciri yang ada pada aku seperti:-

1. Kidal serta mempunyai bertulisan cakar ayam.

        Kidal yang biasa-biasa dengan tulisan lawa tu jangan perasan nak jadi Dyslexia. Ramai doktor aku kidal tulisan berseni nak mampus tapi pandai, sebab tu jadi doktor. Dari aku sekolah rendah sampai sekarang, aku mendapat kritikan yang amat hebat kerana mempunyai tulisan yang paling teruk dan hampir ke tahap tak boleh di kenalpasti (hingga aku pun kadang-kadang tak boleh membaca). Kalau ada kawan-kawan sekelas nak pinjam konon-konon nak tengok cara kerja atau jawapan aku (padahal nak tiru), dengan senang hati aku beri pada mereka dan berkata jangan cuba tanya apa-apa. Sejak itu ramai yang menyesal daripada berpuas hati melihatnya.

        Tulisan aku jatuh nombor dua paling buruk dalam sekolah dan menjadi antara topik utama dalam mesyuarat bulanan guru-guru mengajar SPM sebab takut tulisan aku menjejas keputusan peperiksaan tertinggi masa itu. Ya, perkara itu benar-benar terjadi. Tak pernah terfikir nak berubah atau mengubah?, aku cuba tapi bukan senang dan setakat ini aku tak pernah dengar ada orang berjaya. Bayangkan, nak jawab soalan yang memerlukan anda mengarang lebih dari dua tiga karangan dalam jumlah kosa kata 150 ke 300 patah perkataan dalam masa dua jam atau lebih dan anda perlu menulis dengan cepat dengan jawapan yang betul dan tepat. Pabila di 10 minit pertama selepas merangka jawapan, tulisan aku bermula dengan roman susunan yang kemas dan membulat serta berjarak antara satu sama lain, dan bila pengumuman waktu minit-minit terakhir oleh pengawas peperiksaan, koma dan noktah kesemua pun boleh hilang entah ke mana. Kalau orang sindir tulisan aku buruk, aku dah lali dan mengaku jer. Nak buat macam mana, akur je aku ini seorang Disleksia.

2. Pegang pen atau pensil cara pelik.

        Anda mesti tak terfikir kenapa kawan anda yang bertangan kidal memegang pen dan pensil lain dari yang lain bukan. Nah. Fikirkan itu.

3. Selalu keliru arah kiri dan kanan.

        Ini bukan sebab anda selalu bawa dua kereta berjenama berbeza seperti Proton (signal sebelah kiri) atau Perodua (signal sebelah kanan). Ramai aku jumpa orang kidal akan akan keliru dua benda ini. Kalau aku bawa kereta, salah masuk lorong itu sudah biasa. Kalau orang cakap aku kiri atau kanan, otak aku kena kenal pasti tangan mana aku menulis dahulu, baru aku cam mana kiri atau kanan. Susah bukan. Cara mengelakkannya, pastikan beri arahan lebih awal beberapa saat di masa yang sepatutnya.

4. Kurang fokus dan cepat beralih perhatian

        Ini pun bagi aku susah nak terangkan macam mana. Berdasarkan pengalaman aku adalah bila dalam kelas, aku hanya mampu fokus untuk beberapa minit dalam tempoh tertentu, lepas itu aku akan mula mengelamun, pandang kat depan tapi otak kosong. Kalau aku lepak atau jumpa kawan-kawan, hanya di awal waktu je mampu bergelak ketawa. Lepas tu aku akan pura-pura dengar otak aku tak boleh nak hadam atau nak fokus apa orang cakap. Tak tahu nak cakap kenapa boleh jadi macam tu. Automatik akan jadi sendiri. Kalau jadi macam tu, aku akan cakap siap-siap yang aku tak boleh nak fokus atau aku akan cepat-cepat alih perhatian kat benda lain. Maaf kawan-kawan, hati-hati kalau tengok aku masa dekat hujung-hujung waktu tu, nak masuk fasa gerhana jadian, aku akan hanya duduk angguk-angguk dan pura-pura dengar.

5. Lambat Membaca/Belajar

        Seingat aku, aku mula dapat membaca dengan lancar masa umur 9 tahun atau darjah tiga. Yang dapat kesannya adalah cikgu kelaslah. Dulu, dia ingat sebab aku rabun jauh. Jadi buatlah cermin mata (mula-mula pakai kuasa kudanya dah mencecah 300 lebih. Sekarang ni dengan bangga 'power' cermin mata aku dah lebih 1000"). Tetapi, sama je prestasi aku. Malah, dia suruh pula aku beritahu kat mak aku, minta duit nak beli Majalah Didik; majalah tambahan untuk meningkatkan pembacaan dan wajid pulak tu di beli untuk murid-murid lemah pembelajaran macam aku ni (pinjam dengan kawan-kawan pun tak boleh). Aku dah cakap tak mahu sebab mak mesti tak nak. Kami pun bukan keluarga yang senang. Tup tup, cikgu dah siap membawang dengan mak dan maka setiap bulan aku jadi pelanggan setia. Nak dijadikan cerita, aku jadi makin kuat membaca (dalam gelap di malam yang dingin pun aku suluh lampu nak membaca) dan tak sampai dua tahun power cermin mata aku jadi 500 ratus dan bila darjah enam mencapai 700 lebih. Hebat bukan. Tapi baru sikit. Yang lebih hebat, dua ujian akhir tahun untuk kelas harian dan kelas agama (waktu petang setiap Ahad hingga Selasa), aku mencipta sejarah anak muda dalam kampung dan menjadi orang pertama yang memakai cermin mata mendapat nombor dua di dalam kedua-dua ujian tersebut. Tahniahkan.

6. Sukar ikut arahan yang panjang/Perlu kefahaman atau fahami konsep bukan mengingat atau menghafal

        Masa aku sambung belajar lima tahun dulu (2015), aku siap beritahu pensyarah aku yang aku ni memang ada Dislexia. Dia terkejut sebab aku pandai kut. Aku cakap sebab tu masa dalam kelas aku memang jenis banyak bertanya sebabnya aku tak boleh nak ingat sangat atau hafal banyak-banyak tapi aku perlu faham sesuatu konsep baru boleh belajar. Otak orang Disleksia macam ada saraf terputus sikit, sebab tu kalau ada orang bercakap dengan aku selalu cakap aku ni macam biul atau 'slow'. Kalau belajar, orang Disleksia cemerlang dalam bidang Matematik, Fizik, Kimia dan Seni. Tapi aku terbalik sikit, tak apa itu hal aku. Contoh nak faham pasal jantung dan fisiologi darah di pam masuk di pam keluar. Ramai orang akan menghafal. Aku pula lemah bab menghafal, jadi aku kena faham konsep macam mana jantung berfungsi. Kena bayangkan sebuah jantung depan mata. Lagi satu, Disleksia ni daya imaginasi mereka sangatlah kuat.

       Kerja aku sebagai seorang jururawat banyak kena dengan arahan dan simpan banyak maklumat dalam kepala. Masa nak tukar shif dan 'pass report' yang berjela dan lama, banyak mesej nak kena ingat, buat dan dilaksanakan. Tapi sepatah perkataan pun aku tak tulis. Ramai cakap "orang lekaki memang macam tu", "terer boleh lah". Jawapannya adalah, Pertama, bukan sebab aku kuat ingatan; tak, tapi aku dah faham konsep kerja macam mana. Kedua; kalau aku tulis, aku yakin aku mungkin tak dapat baca skrip apa yang aku tulis dan ketiga; sukar benar nak menafikan kenyataan ini , aku sememangnya betul-betul genius.

7. Selalu tersasul/Twisted tongue

        Bila bercakap mesti ada perkataan tersasul. Dulu aku malu jugak sebab banyak tersasul, tapi aku anggap tu salah mulut aku. Lagi satu, sebutan aku mesti lain pada yang lain. Lagi-lagi kalau menyebut perkataan (pronountation) orang putih. Otak dah siap sedia hantar isyarat nak sebut slang London, alih-alih lidah pulak putar keluar lain bunyinya. Hidup banyak kena berpasrah je. Aku pulak jenis suka cakap cepat-cepat sampai semua ayat dan perkataan jadi bersambung-sambung. Bila orang tak faham, jadinya aku kena ulang balik. Susah betul.

8. Suka pada benda artistik/hyperaktif

       Aku tak adalah pandai melukis sangat. Sampai sekarang aku tak tahu mana berseninya aku. Kalau hyperaktif, aku mengaku. Aku jenis tak duduk diam, tak boleh sabar dan cepat bosan buat sesuatu benda. Kadang-kadang nak hilangkan kebosanan, aku akan buat dua tiga kerja terus pada suatu masa.

9. Selalu tersalah/tertukar tulis dan membaca abjad atau nombor.

       Yang ni aku tak teruk sangat tapi paling aku ingat masa aku sekolah rendah selalu tulis huruf 'Y' ekor belah kanan. Ingat, aku kidal orangnya. Yang membuatkan aku berazam nak membetulkannya adalah bila darjah enam pergi sebuah Kem UPSR peringkat daerah, aku kena panggil ke depan dan kena menulis kat papan hitam. Masa tulah pulak ada huruf 'Y' kena tulis huruf besar. Bila salah tulis, aku dengar cikgu tu sindir aku dan budak-budak sekolah lain ketawaka aku. Masa tu rasa macam apa yang aku tengok dalam filem barat pasal kena buli kat sekolah betul-betul jadi kat diri sendiri. Malu besar kut. Walaupun aku budak-budak lagi masa itu, tetap ada maruah diri. Tetapi aku bangkit dan sejak itu aku berlatih betulkan tulis ekor huruf 'Y' dengan betul dan penamatnya; aku berjaya.

         Ciri-ciri di atas adalah pengalaman aku sendiri yang mana anda boleh kaitkan dan rasa macam sama seperti aku mungkin belum terlambat untuk merawatnya (sendiri je lah). Aku ni tak adalah teruk sangat Disleksia dan kebanyakkan orang yang ada Disleksia ni anggap benda ni normal. Ada yang sampai tua pun tak tahu.

        Ini adalah hanyalah perkongsian. Jadilah apa yang terbaik buat anda, keluarga, orang sekeliling, agama dan hidup anda.

Comments

Popular posts from this blog

Diari Misi Lelaki: Till Death Tear Us Apart

 CERITA DARI SEORANG SAHABAT: DARI AMIR UNTUK AMIR